Tuesday, March 7, 2017

Mencungkil kebenaran tentang AHMAD NISFU-Arkib Berita Harian Singapura

GAMBAR KENANGAN: (Barisan belakang dari kiri) Anak tiri pertama, Encik Sulong Ali; anak tiri ketiga, Encik Saydeh Ali; anak tiri kelima, Encik Omar; anak kandung sulung, Encik Osman Mohamed; dan anak tiri kedua, Encik Amin (paling kanan). Isteri kedua Allahyarham Ahmad Nisfu, Allahyarhamha Cik binti Osman (duduk ketiga dari kiri) dan anak tiri keempat, Cik Yam (sebelah Allahyarham). Kanak-kanak dalam gambar adalah cucu tiri Allahyarham. - Foto ihsan OSMAN MOHAMED

Seniman Ahmad Nisfu

Salam Ziarah,

Saya terpanggil untuk menjelaskan duduk perkara sebenar kisah mengenai Allahyarham Seniman Ahmad Nisfu. Dahulunya pernah Menular "Viral" kisah beliau meninggal dan hidup Daif di perkarangan Kubu Jepun adalah fitnah semata-mata. Baca disini- kisah ahmad nisfu yang tak diketahui ramai

Namun Seorang Wartawan Berita Harian Singapura dan juga kenalan saya telah mencari jawapannya dengan menemuramah Keluarga Seniman Ahmad Nisfu di Singapura. Sila baca artikel penuh yang bertarikh 26 Oktober 2014.

Laporan oleh : Nurmaya Alias
Arkib : Berita Harian Singapura.

RAMAI mengingati Allahyarham Ahmad Nisfu sebagai 'tuan director' dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Ramai juga akan geli hati melihat reaksi Allahyarham sejurus watak Aziz menyampaikan dialog, "lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku" dalam salah satu babak filem itu.Ternyata, lakonan Allahyarham dalam pelbagai filem klasik sangat berkesan.

Namun, baru-baru ini tersebar satu rencana di laman sosial Facebook yang kurang menyenangkan.Rencana itu mengisahkan bagaimana Allahyarham "meninggal dalam serba kedaifan dan sebatang kara".

Artikel daripada sebuah blog itu turut mengatakan bahawa Allahyarham hidup dengan bantuan ihsan orang ramai dan meninggal seorang diri di sebuh kubu perang Jepun.
Tetapi, maklumat dalam rencana yang dipercayai telah diedarkan di laman siber sejak sekitar tiga tahun lalu itu adalah tidak benar.Pelbagai cerita yang tidak benar dalam artikel itu telah menimbulkan kemarahan di kalangan anggota keluarga Allahyarham.

Buat julung-julung kalinya, anak kandung Allahyarham, Encik Osman Mohamed, 76 tahun, berbicara dengan akhbar Berita Minggu untuk menjelaskan keadaan sebenar.
"Satu saja yang betul dalam rencana itu - Allahyarham adalah seorang pelakon filem. Yang lain semua bohong," kata Encik Osman yang ditemui di rumahnya di Jellicoe Road baru-baru ini.

Menurut Encik Osman, yang tidak mahu gambarnya disiarkan dalam akhbar, Allahyarham yang nama sebenarnya Mohamed bin Nisfu telah meninggal dunia di rumahnya pada 10 pagi, Julai 1973.
Rumahnya terletak di kawasan Kampong Kuchai Lorong 3 di Singapura.

"Arwah meninggal secara senang. Saya sempat jumpanya pada 7 pagi sebelum pergi kerja.
"Pada 10 pagi, saya mendapat panggilan yang beritahu saya bahawa Allahyarham sudah menghembuskan nafas terakhirnya," kata Encik Osman, anak sulung dalam dua beradik.
Adiknya, Cik Fatimah Mohamed, sudah meninggal dunia.

Katanya lagi, anggota keluarga serta ramai seniman dan seniwati seperti Allahyarhamha Saadiah telah melawat jenazahnya yang disolatkan di surau Kampong Kuchai.
Allahyarham kemudian dikebumikan selepas zuhur di perkuburan Bidadari dan baru-baru ini telah dipindahkan ke perkuburan Choa Chu Kang.

"Allahyarham sakit sebulan sebelum beliau meninggal. Ada darah keluar semasa beliau membuang air kecil dan beliau pergi ke hospital. Tetapi, beliau balik rumah setelah berasa pulih. Sebelum beliau meninggal, beliau nampak macam biasa, tak sakit," kata Encik Osman.

Seorang anak tiri Allahyarham, Encik Saydeh Ali, 76 tahun, yang ditemui di rumahnya di Choa Chu Kang Street 52 turut mengesahkan maklumat mengenai pemergian Allahyarham.
"Allahyarham dikelilingi ahli keluarga semasa meninggal dunia," kata Encik Saydeh.
Malah, Allahyarham tidak pernah kesunyian sepanjang hayatnya.

Allahyarham, anak sulung dalam empat beradik, telah dilahirkan di Medan, Indonesia, tetapi membesar di Kampung Makam di Pulau Pinang, Malaysia. Isteri pertamanya yang berasal dari Kedah,Allahyarhamha Saadiah Musa, meninggal dunia pada 1939 selepas melahirkan anak kedua.
"Selepas kematian isteri pertama, Allahyarham datang ke Singapura sebelum Merdeka pada tahun '50-an," kata Encik Osman. Di sini, Allahyarham telah menikahi isteri keduanya, Allahyarhamha Cik binti Osman. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata tetapi Allahyarham mempunyai lima anak tiri serta cucu-cucu tiri. Seisi keluarga Allahyarham termasuk Encik Osman tinggal di kawasan Kampong Kuchai. Hari ini, Allahyarham turut mempunyai 10 cucu kandung.


SENIMAN AHMAD NISFU
Minat Allahyarham dalam bidang lakonan telah berputik sejak kecil lagi.Beliau yang berpendidikan madrasah telah menyertai satu kumpulan bangsawan di Pulau Pinang dan kemudian menyertai kumpulan bangsawan Seri Noran di Kuala Lumpur pada tahun '50-an.Pementasan bangsawan itu telah membawanya ke Singapura di mana beliau kemudian menjadikan kota ini sebagai tempat tinggal tetapnya sehingga ke akhir hayat.

"Beliau tidak pernah balik ke Pulau Pinang selepas berkahwin lagi di sini," kata Encik Osman.
Beliau juga sangat rapat dengan Allahyarham P. Ramlee, kelahiran Jelutong, Pulau Pinang, dan mereka sudah saling berkenalan sejak alam persekolahan.

Justeru, Allahyarham yang hanya tahu menulis dan membaca dalam tulisan Jawi banyak menyumbang idea dan melakonkan filem-filem hasil Allahyarham P. Ramlee.Misalnya, filem Ibu Mertuaku, yang diterbitkan pada 1961, sebenarnya cerita yang digarap hasil cetusan idea Allahyarham dan diberikan kepada Allahyarham P. Ramlee. Idea itu kemudian diolah mengikut cita rasa Allahyarham P. Ramlee bagi mencerminkan kesan teladan dan pengajaran.

Berdasarkan perkongsian Encik Osman dan Encik Saydeh mengenai Allahyarham lagi, mereka menggambarkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas tetapi bernada lembut semasa bertutur dan tidak banyak cakap di dalam rumah. Beliau selalu keluar pagi dan akan balik rumah selepas isyak.
Apabila ada penggambaran filem, sebuah kereta akan datang menjemputnya di rumah.
"Allahyarham juga selalu bersembang di kedai kopi di Geylang Lorong 101. Di situlah 'port' bintang filem.
"Tetapi, apabila masuk waktu solat, Allahyarham akan bersolat di Masjid Aminah, Masjid Kassim atau Masjid khalid" kata Encik Saydeh.
"Allahyarham adalah seorang yang warak. Allahyarham banyak memberikan nasihat tentang agama dan menjadi bilal tetap di Masjid Khalid," kata Encik Osman.
Facebook19TwitterWhatsAppEmai

2 comments:

  1. Alhamdulillah...akhirnya dapat tau juga kisah seniman Ahmad Nisfu..

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian ini...saya anak generasi 80an :)

    ReplyDelete