Thursday, January 14, 2016

Menyusur kenangan bersama Seniwati awet muda-K. Fatimah

Salam Ziarah,

Sudah lama saya tidak berkesempatan untuk menemuramah seseorang artis baik Seniman atau Penyanyi kerana kesibukan diri bekerja dan menjaga si kecil, Humaira Al-Muwaffaqah.Malahan saya merasakan dunia seni telah kekurangan Seniman kerana ramai yang telah dijemput menghadap Illahi. Alfatihah buat mereka yang telah tiada. Ameen inshaaAllah.

Semasa saya dan suami menziarahi hari pengkebumian jenazah Allahyarhamah Mak Momo Latiff,saya diberi kesempatan untuk berjumpa dengan salah seorang Seniwati Malay Film Productions (MFP) milik kedua beradik Shaw Brothers iaitu Seniwati K. Fatimah.Semasa bertemu beliau buat pertama kali beliau sangat peramah lalu saya memberitahu beliau hasrat saya ingin menemuramahnya kerana beliau merupakan salah seorang yang sangat penting di dalam dunia perfileman melayu.

Pada Sabtu lepas bertarikh 9Januari 2016,Saya telah membuat temujanji untuk menemuramah Seniwati K. Fatimah di rumahnya bersama teman saya Penyanyi Rudy Djoharnaen. Sesampai kami disana Seniwati K. Fatimah menceritakan bagaimana beliau bermula menjadi Bintang Filem Melayu Klasik. Kini usianya telah mencecah 76tahun dan beliau merupakan surirumah sepenuh masa dan masanya banyak dihabiskan dirumah dengan memasak kerana itu adalah hobi kegemarannya.

Dilahirkan di Singapura pada 3 Jun 1940 dan pemilik nama sebenar, Ngatimah Bte Kasbie mula berkecimpung di dalam bidang seni lakonan pada awal tahun 1960 dan filem Isi Neraka merupakan filem lakonannya yang pertama tanpa dialog. Nama pentasnya K. Fatimah diberikan oleh Tan Sri P. Ramlee dan namanya itu melonjakkan popularitinya sebagai pelakon walaupun hanya watak pembantu.K adalah singkatan Nama bapanya Kasbie dan nama Ngatimah dieja Fatimah untuk kelihatan lebih komersial.

Sebelum menceburkan diri di dalam seni lakonan,Beliau pernah dinobatkan sebagai Juara Ratu Kebaya/Cantik sebanyak dua kali berturut-turut di Singapura dan sekali di Johor Baharu pada tahun 1950an ketika beliau berusia belasan tahun lagi. Beliau hanya menyertai peraduan itu secara suka-suka kerana ingin menemani temannya yang juga diambil menjadi Seniwati Filem dan mencuba nasib maka peluang memasuki Peraduan Ratu Cantik tidak disia-sia kan.Oleh kerana kedua-dua Seniwati ini telah berjaya di dalam peraduan tersebut,Ia telah menambat hati pihak Shaw bothers untuk mengambil mereka menjadi salah satu pelakon Malay Films Productions dan mereka diundang untuk menyertai peraduan "Menjadi Bintang" dan berjaya dipilih bersama dua lagi peserta untuk menjalani Screentest pada tarikh 18 Julai 1959 di Studio MFP. Teman seperjuangan yang dimaksudkan ialah Allahyarhamah Seniwati Fatimah Ahmad.

Diantara ke empat-empat peserta hanya Seniwati K. Fatimah dan Seniwati Fatimah Ahmad sahaja diangkat menjadi Bintang Filem di Studio MFP. Antara Pengarah yang melakukan uji bakat tersebut ialah Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong lalu khabarnya mereka akan diberi watak pembantu untuk Filem Karya Tan Sri P. Ramlee bertajuk Badang namun filem itu tidak menjadi kenyataan.

Pengarah Jamil Sulong kemudian diberi tanggungjawab untuk mengarahkan filem Isi Neraka pada tahun 1960 dan beliau juga berlakon di dalam filem ini sebagai Raja Negeri Malaka di babak awal cerita dan filem ini dibintangi oleh Seniwati Saadiah, Seniman Ahmad Mahmud dan Seniman Salleh Kamil dan lain-lain.Pengarah Jamil Sulong memberikan watak pembantu sebagai permulaan di dalam filem Isi Neraka kepada Seniwati K. Fatimah dan Seniwati Fatimah Ahmad.Dengan penampilan pertama inilah, Pengarah Jamil Sulong ingin menggilap bakat mereka supaya berani dan tidak kekok untuk berlakon dan berhadapan dengan kamera untuk filem-filem yang akan datang.Disinilah Seniwati K. Fatimah belajar dan mengenal erti bagaimana untuk berlakon dan cara teknik untuk menjadi seorang bintang yg hebat.Seniwati K. Fatimah berperan sebagai watak pembantu tanpa memerlukan sebarang dialog dan hanya perlu duduk disebelah Wira (watak yang dilakonkan oleh Salleh Kamil) di tempat persembunyian Wira dan kawan-kawan di dalam Gua.Manakala Seniwati Fatimah Ahmad diberi peranan menyanyi sambil menari untuk lagu joget Serampang Laut disamping Seniman Hashim Salleh.

Dari situ,bakatnya mula menyinar dan diambil berlakon untuk filem-filem yang lain walaupun hanya diberi watak pembantu sahaja. Filem Indera Bangsawan wataknya sebagai Permaisuri diraja manakala Filem Sumpah Wanita pula beliau memegang watak Puteri Raja di babak terakhir. Pada awal pembabitannya di dalam dunia lakonan, Peranan yang diberikan kepadanya tidak perlu menghafal dialog yang sangat panjang dan tidak banyak babak yang perlu beliau lakonkan. Sungguhpun begitu, lama kelamaan Seniwati K. Fatimah diberi watak yang paling mencabar dan katanya walaupun dia hanya memegang watak sampingan tetapi peranannya harus dilakonkan dengan baik supaya ia berkesan di hati penonton.

Filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee iaitu filem Ali Baba bujang Lapok,Seniman Bujang Lapok adalah titik permulaan kemuncak kerjayanya, P.Ramlee memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak yang agak serious dan memerlukan Seniwati K. Fatimah berdialog dan babak-babak lakonan yang agak panjang di dalam setiap filem arahan P. Ramlee. Maka tidak hairanlah, Watak Norsiah dan Isteri kedua "Abang Kus" di dalam filem Ali Baba dan Seniman Bujang Lapok membuatkan beliau terus dikenali.

Filem terakhir lakonannya iaitu filem Ibu Mertuaku pada tahun 1962 dimana Seniwati K. Fatimah diberi watak sebagai Salbiah,Pembantu rumah kepada Nyonya Mansur dan menyamar sebagai Sabariah ketika bertemu Kassim Selamat di Capitol Blueroom. Ketika saya dan Teman Rudy Djoharnaen sedang berbual-bual dengannya sebelum kami hendak pulang, Seniwati K.Fatimah telah menunjukkan Pakaian yang dipakai olehnya di dalam Filem Ibu Mertuaku. Dialog " Saya pakai baju fesyen bunga hati warna merah dan Hitam ok?" masih lagi disimpan cermat walaupun baju tersebut telah berusia hampir 50tahun lamanya. Sukar untuk kita temui seorang Seniwati yang masih menyimpan barang-barang berharga miliknya sebagai tanda kenangan untuk diwarisi oleh anak cucunya kelak.

Jikalau beliau tidak diambil berlakon, Seniwati K. Fatimah diarahkan untuk menjadi salah satu Penari Filem MFP dan kadang kala suaranya digunakan untuk Dubbing sesebuah Filem.Pada Tahun 1964, Ketika P. Ramlee hendak mengarahkan Filem Madu Tiga, Sepatutnya watak Cik Hasnah diberikan kepada Seniwati K. Fatimah namun watak Cik Hasnah diberi kepada Seniwati Jah Mahadi atas kerana Seniwati K. Fatimah telah menamatkan Kontraknya bersama Studio Jalan Ampas kerana beliau telahpun berumahtangga.Beliau dikurniakan 5orang anak.

Walaupun kisahnya tidak banyak diketahui umum,namun oleh kerana kita sering menonton filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee dan disitu juga watak-watak yang dilakonkannya masih diingati hingga kini.Salah seorang cucunya iaitu Syafiq saya lihat mempunyai minat mengumpul dan hafal setiap filem lakonan Nendanya. Apabila kami tanyakan padanya adakah beliau tahu dan suka mempunyai nenek yang dahulu merupakan Seniwati filem Melayu,Beliau dengan bangganya mengatakan "syafiq suka tengok filem-filem lakonan nenek". Syabas kerana ada juga anak muda yang masih menghargai bintang-bintang Filem.

Antara Dialog yang saya suka di dalam watak Norsiah untuk Filem Ali Baba Bujang Lapok ialah
"Ohh kalau begitu kanda jadi perempuan ya,Dinda jadi laki-laki,Baik sekarang biar kanda masak dinda cari kerja.nah ini gandumnya"

Terima kasih kepada Seniwati K. Fatimah dan keluarga yang banyak berkongsi cerita dan gambar-gambarnya di studio Jalan Ampas, Saudara Rudy Djoharnaen yang menemani saya untuk menemuramah Seniwati K. Fatimah ke rumahnya dan juga khasnya untuk Seniman Ahmad Fauzee yang merupakan Ketua admin Kelab Filem & Muzik melayu Klasik (KFMMK) di Facebook yang telah berkongsi gambar- gambar dan sedikit info tentang Seniwati K. Fatimah.

Semoga Seniwati K. Fatimah terus diberi kesihatan dan bahagia disamping keluarga tercinta. Ameen InshaaAllah.akhir kata dari saya, dialog lucu yang masih diingati, " Ya Norsiah, Marilah kita dancing" :)


Salam Hormat,
Ukhti Aminah,
Singapura


Filem pertama lakonan Seniwati K. Fatimah di dalam
Filem Isi Neraka bersama Seniman Salleh Kamil


Salah satu pakaian koleksinya yang masih disimpan ialah ketika bertemu dengan Husin Jalal di Bawah pokok
untuk filem Ibu Mertuaku
Keayuannya terserlah hingga menjadi Bintang ternama

Keratab Akhbar Berita Harian Singapura
pada 17Julai 1959

Seniwati K. Fatimah bergambar bersam Seniwati Salmah Ahmad

Seniwati K. Fatimah menunjukkan baju yang dipakainya semasa menyamar sebagai Sabariah di dalam filem Ibu Mertuaku

Bergambar kenangan bersama teman Rudy Djoharnaen

Seniwati K. Fatimah sedang bersalam dengan "madunya' iaitu Seniwati Hartinah di dalam
filem Seniman Bujang Lapok

Watak Fatimah yang dilakonkannya bersama Abang Kus iaitu Seniman Kuswadinata
di dalam filem Seniman Bujang Lapok

Watak Norsiah bersama Ali Baba lakonan Seniman Datuk Aziz Sattar di dalam
filem Ali Baba Bujang Lapok

Mereka bertemu kembali ketika mengadakan persembahan di salah satu acara
yang menggabungkan artis Veteran. Allahyarham Seniman Kuswadinata

Seniwati K. Fatimah membawakan watak puteri raja di dalam filem Sumpah Wanita

Cucu kepada Seniwati K. Fatimah iaitu Syafiq tekun mendengar cerita kenangan Nendanya

Filem lakonan Seniwati K. Fatimah sebagai Permaisuri Raja di dalam Filem Indera Bangsawan











1 comment:

  1. terima kasih ats perkongisan cerita seniwati agung ini, salam dr kuala lumpur

    ReplyDelete